BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Isnin, 11 April 2011

SESUCI CINTAMU



       “ Awak cakap awak dah nak berubah! Tapi, tengok, malam-malam keluar lepak dengan kawan-kawan, pergi merempit. Nasib baik patah tangan saja, macamana kalau….,” Insyirah tidak dapat meneruskan ayatnya. Dia mula terasa sebak, mengenangkan sikap teman lelakinya itu.  Rayyan, memang seorang lelaki yang tidak boleh dilabelkan sebagai seorang lelaki baik. Namun, Insyirah sendiri  tidak tahu kenapa dia boleh jatuh hati pada lelaki itu dan terus bersama dengannya sehingga sekarang. Memang betullah bahawa cinta itu buta.
       “ Macamana kalau saya mati ?? ,” Rayyan menyambung ayat Insyirah yang tergantung itu. Kemudian dia tersengih sendiri. “ Jangan mengarutlah sayang, saya takkan matilah. Saya kan masih muda,” kata Rayyan. Air mata Insyirah mula bergenang. “ Dia memang tak pernah fikirkan tentang kematian. Rayyan, maut tidak mengenal usia,” Insyirah merintih di dalam hatinya sendiri. Dia sedih dengan sikap teman lelakinya itu yang memandang ringan akan perkara yang melibatkan agama. Solat, dia tidak tahu, dalam seminggu hanya berapa kali lelaki itu mengerjakannya. Bulan Ramadhan, tidak sampai sepuluh hari mungkin lelaki itu berpuasa. Baca al-quran, langsung tak pernah.
       “ Sayang, saya janji, lepas ini saya betul-betul akan berubah,” Rayyan mengangkat tangan kanannya dan berkata dengan penuh yakin. Dia memandang mata Insyirah, cuba untuk mendapatkan kepercayaan daripada gadis itu.
       “ Janji??,” tanya Insyirah lagi kurang yakin.
       “ Ya, janji ,” kata Rayyan bersungguh-sungguh. Seketika kemudian, Insyirah mula tersenyum. Kali ini dia yakin bahawa lelaki itu benar-benar ingin berubah. “ Baguslah kalau awak cakap macam tu? Saya dah lama tunggu nak tengok awak berubah.. Ha, satu lagi, saya tak suka bau tu..,” kata Insyirah. Rayyan tersengih mendengar kata-kata teman wanitanya itu. “ InsyaAllah sayang,” kata Rayyan acuh tidak acuh. Dia tahu, Insyirah maksudkan bau rokok kerana baru sahaja kejap tadi dia menghabiskan sebatang rokok. Insyirah hampir tergelak mendengar perkataan ‘InsyaAllah’ yang keluar daripada mulut teman lelakinya itu. Belum pernah dia mendengar lelaki itu menyebut perkataan itu sebelum ini.
*******
       “ Selepas itu, nabi Yusuf pun berkahwin dengan Zulaikha,” Insyirah menghabiskan ceritanya tentang nabi Yusuf kepada kanak-kanak di tadika itu. Itulah rutin hariannya sekarang, sementara menuggu keputusan SPM keluar. Dia bekerja sambilan sebagai seorang guru tadika tidak jauh dari rumahnya. Bukan dia sahaja yang bekerja sebagai guru di situ, Rayhan, rakan baiknya juga adik perempuan Rayyan turut sama bekerja di situ. Oleh itu, setiap kali, Rayyan pasti datang ke tadika itu apabila tamat pembelajaran untuk menjemput Rayhan pulang. Insyirah dengan Rayhan memang berkawan baik sejak mereka tingkatan satu lagi, malah Insyirah menjadi rapat dengan Rayyan kerana dia sering ke rumah Rayhan untuk mengulangkaji pelajaran dan membuat perbincangan berkumpulan setiap petang sewaktu tingkatan lima. Sebelum itu, Rayyan memang tidak pernah perasan akan kewujudan Insyirah. Namun, sejak Insyirah kerap kali datang bertandang ke rumahnya, timbul rasa sayang pada gadis itu. Sehinggalah pada suatu hari Rayyan meluahkan perasaannya kepada Insyirah. Dan Insyirah yang sememangnya sudah jatuh hati pada Rayyan sejak dulu lagi, dengan gembira menerima cinta yang dihulurkan oleh lelaki itu. Dia tahu, tiada yang baik tentang lelaki itu. Namun, bila hati sudah jatuh sayang, semua itu bagaikan bukan menjadi suatu perkara yang besar. Tambahan lagi, dia yakin yang manusia boleh berubah.
       “ Hai awak.. ,” Rayyan menegur Insyirah yang berjalan mengiringi kanak-kanak tadika itu keluar.     “ Hai..,” balas Insyirah sambil tersenyum. “ Rayhan sedang kemas barang kejap tu,” sambungnya lagi.          
       “ Saya suka dengar cerita awak.. Pasal nabi-nabi tu,” kata Rayyan tanpa segan. Dia akui, dia memang langsung tiada pengetahuan tentang kisah-kisah nabi, apatah lagi tentang perihal islam.
       “ Betul?? Kalau awak suka, awak boleh datang dengar selalu. Saya akan bercerita pada kanak-kanak itu setiap kali sebelum mereka pulang,” kata Insyirah.
       “ Ok abang, jom balik ,” Rayhan tiba-tiba muncul di depan pintu tadika itu dengan keadaan kelam-kabut. “ Err.. aku ganggu ke?,” tanya Rayhan apabila melihat abangnya dan Insyirah memandang ke arahnya. Kemudian, mereka berdua tergelak dengan sikap Rayhan yang kalut itu.
       Sejak daripada hari itu, Rayyan sering datang awal untuk menjemput satu-satunya adik perempuannya itu. Namun, tujuan dia datang awal itu adalah untuk mendengar cerita yang diceritakan oleh Insyirah kepada kanak-kanak tadika itu. Dia berasa tenang mendengar kisah-kisah nabi itu. Timbul rasa kagum terhadap para nabi yang banyak berjuang dalam menyampaikan ajaran Allah Yang Esa. Insyirah yang mula perasan akan sikap Rayyan yang semakin berubah ke arah positif mula berasa gembira. Dia yakin, lelaki itu boleh berubah.
       “ Aku tak faham, kenapa kau boleh sayang sangat pada abang aku tu. Sedangkan kau tahu, yang perangai dia tu teruk sangat,” tanya Rayhan tiba-tiba pada suatu hari.
       “ Rayhan.. Kau tahu kan yang aku sejak dulu lagi sukakan dia, kenapa kau jangan tanya. Kerana cinta itu tak memerlukan sebab. Kau kena yakin yang abang kau tu akan berubah suatu hari nanti. Tengok, sekarang pun aku tengok dia dah semakin baik,” kata Insyirah. Rayhan hanya mengangguk. Dalam hatinya, dia cukup kagum dengan Insyirah yang masih boleh terus bertahan dan sabar dengan sikap abangnya itu. Dia juga tabik pada Insyirah yang tetap menaruh harapan tinggi dan yakin bahawa abangnya boleh berubah. InsyaAllah..
*******
       “ Rayyan, jom lepak. Aku rasa dah lama kita tak pergi kelab ,” ajak salah seorang rakan Rayyan.        “ Tapi… ,” Rayyan cuba untuk tidak menerima ajakan rakannya itu.
       “ Tapi apa? Kau takut teman wanita bertudung kau tu marah? Rayyan, kau ni biar betul. Setahu aku, Rayyan yang aku kenal tak takut pada perempuan.. Kalau perempuan takut pada kau boleh percayalah ,” kata salah seorang rakannya yang lain. Kemudian, kesemua rakan-rakannya itu tergelak. Mendengar kata-kata rakannya itu, darahnya mula menyirap naik. Wajahnya berubah merah. Diri berasa dirinya begitu tercabar sekali apabila disindir begitu.
       “ Siapa cakap aku takut dengan dia? Ha, jomlah, aku pun dah mula rindu pada gadis-gadis seksi di kelab malam tu ,” akhirnya Rayyan membina semula dinding keegoannya.
       Insyirah dan Rayhan berjalan di tepi kawasan itu, cuba menahan teksi untuk pulang ke rumah. Mereka baru sahaja habis membeli-belah di bandar, habis semua pasaraya mereka jelajah. Maklumlah sekarang adalah musim promosi. Sudah tentu mereka tidak akan melepaskan peluang keemasan itu. Namun, tiba-tiba mereka ternampak Rayyan dan rakan-rakannya menunggang motosikal mereka dengan laju menuju ke kawasan bandar. Insyirah mula berasa tidak sedap hati melihat Rayyan bersama rakan-rakannya yang nakal itu. Sebaik sahaja sebuah teksi berhenti di hadapan mereka, Insyirah segera masuk ke dalam teksi itu diikut Rayhan lalu dia mengarahkan pemandu teksi itu mengekori mereka. Hampir lima belas minit mereka mengekori Rayyan dan rakan-rakannya sehinggalah mereka berhenti di hadapan sebuah kelab malam. Lama Insyirah menunggu di dalam teksi. Hatinya tidak tenang, sebak sebaik melihat lelaki yang dia cintai itu melangkah masuk ke tempat maksiat itu.
       “ Aku nak masuk ke dalam sana! ,” bentak Insyirah, kemudian keluar dari teksi itu lalu meluru ke dalam kelab malam itu. Rayhan yang cuba menahan Insyirah daripada masuk ke tempat itu tidak sempat berbuat apa-apa.
       Insyirah berjalan laju di dalam kelab malam itu, sambil matanya melilau mencari kelibat Rayyan. Bunyi muzik yang kuat di dalam kelab malam itu benar-benar membingitkan telinganya. Tambahan lagi, dengan orang ramai yang bersesak-sesak di dalam kelab itu. Lelaki-lelaki dan perempuan-perempuan yang bergaul bebas, berpeluk-pelukan membuatkan Insyirah mengucap panjang di dalam hati. Dari jauh, dia ternampak Rayyan dan rakan-rakannya di suatu sudut kelab itu. Insyirah membulatkan matanya terkejut. Rayyan kelihatan seperti mabuk dan dalam pelukannya kelihatan seorang wanita yang cukup menggoda. Di tangan kanannya pula memegang sebotol minuman yang Insyirah pasti adalah botol arak. Seketika, Insyirah dapati Rayyan dengan selamba mencium gadis di dalam pelukannya itu. Hati Insyirah bagaikan disiat-siat melihat agenda itu. Perasaannya hancur luluh. Air matanya mula mengalir. Dia berjalan menuju ke arah Rayyan dan..
       PANGGGG!!!!!!!
       Satu tamparan hinggap di pipi Rayyan, menyedarkan dia dari khayalan untuk seketika. Dia kaget apabila melihat Insyirah berada di hadapannya itu. Rakan-rakannya yang lain turut terkejut melihat situasi itu. Wanita di dalam pelukan Rayyan sebentar tadi pula mula menjarakkan diri dari Rayyan.
       “ Saya ingat awak dah nak berubah, tapi semua ini…..,” Insyirah tidak mampu untuk meneruskan kata-katanya. Air matanya semakin deras mengalir membasahi pipi. “ Saya benci awak!!! ,” kata Insyirah lalu pergi dari situ dan meninggalkan Rayyan yang masih tercengang sendiri di situ. Hatinya pedih, terlalu pedih melihat apa yang telah dilakukan oleh lelaki yang dia cintai itu.
       “ Kenapa awak masih tak nak berubah. Saya dah lama tunggu awak berubah ,” katanya di dalam hati.
       “ Insyirah!,” Rayhan yang menuggu di luar memanggil rakannya itu sebaik melihat Insyirah muncul di hadapan pintu kelab itu.
       “ Rayhan…,” Insyirah berlari mendapatkan Rayhan dan memeluk rakannya itu sambil terus menangis. Rayhan yang terkejut melihat keadaan Insyirah itu hanya membiarkan sahaja rakannya itu melepaskan perasaannya.
*******
Dua bulan kemudian…
       “ Insyirah, kau jaga diri baik-baik kat sana nanti ,” kata Rayhan sambil memeluk rakan baiknya.       “ Kau pun sama ,” balas Insyirah. Terasa sebak apabila terpaksa meninggalkan semua orang tersayang di tanah airnya sendiri itu. Dia sendiri tidak sangka akan mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran ke Mesir setelah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM. Dia memandang wajah kedua ibu bapanya sayu, kemudian ke arah Rayhan. Tetapi, tinggal satu lagi wajah yang dia amat berharap untuk menatapnya sebelum pergi. Namun, cepat-cepat dia menghilangkan rasa itu dari hatinya. Dia sendiri menyuruh Rayhan merahsiakan tentang perkara ini daripada Rayyan. Sejak daripada peristiwa dua bulan yang lalu, Insyirah tidak lagi berhubung dengan Rayyan dan sering mengelakkan diri daripada lelaki itu.
       Insyirah memberikan senyuman yang terakhir kepada ibu bapanya dan Rayhan, kemudian dia mengheret beg pakaiannya lalu masuk ke balai berlepas.
       “ Kadang-kadang, kita kena lepaskan sesuatu yang kita sayang, jika melepaskan itu perkara yang terbaik kita boleh lakukan..  Allah menentukan jodoh setiap manusia, dan jika kita memang ada jodoh, InsyaAllah, kita akan bertemu lagi.. Saya pergi dulu Rayyan, selamat tinggal ,” Insyirah bagaikan menghantar bisikan di dalam hatinya itu melalui angin kepada Rayyan.
       Kelibat Insyirah tidak lagi kelihatan. Air mata Pn. Masitah masih bergenangan, begitu juga Rayhan. En. Rasyid cuba menenangkan isterinya itu.
       “ Insyirah!!!! Insyirah!!!! ,” tiba-tiba kedengaran suara Insyirah dipanggil oleh seseorang. Rayyan??
       “ Rayhan?? Mana Insyirah?? Rayhan, tolong beritahu abang, mana dia? Abang nak jumpa dia. Tolonglah Rayhan,” Rayyan merayu-rayu kepada adiknya itu.
       “ Abang… Dia dah pergi ,” kata Rayhan sayu sambil menunjuk ke arah balai berlepas. Rayyan terduduk di situ. Dengan tidak semena-mena, air mata lelakinya yang tidak pernah mengalir sebelum ini menitis setitik demi setitik. “ Abang, Rayhan minta maaf. Dia minta Rayhan janji supaya tak beritahu pada abang,” kata Rayhan, sedih melihat keadaan abangnya itu.
       “ Insyirah, maafkan saya..,” kata Rayyan dalam hatinya.
      Sejak Insyirah pergi, Rayyan kelihatan mula berubah. Kali ini, tekadnya bukan sekadar acuh tidak acuh lagi. Dia memang bersungguh-sungguh untuk berubah. Dia bertekad untuk menjadi seorang muslim yang sejati. Rayhan tersenyum melihat perubahan abangnya itu. Setiap petang, Rayyan akan ke kelas al-qur’an untuk belajar membaca al-qur’an. Dia juga sudah solat cukup lima waktu sehari semalam. Bukan setakat itu sahaja, setiap kali dia tentu akan ke masjid apabila masuk waktu solat. Tahun itu juga merupakan tahun pertama dia berpuasa cukup sebulan di bulan Ramadhan.
       Dia juga sudah tidak bergaul lagi dengan rakan-rakannya yang nakal, tidak lagi ke kelab malam, mahupun menyentuh minuman haram itu lagi. Tabiat merokoknya juga sudah berjaya dia hentikan. Dia tersenyum sendiri apabila teringatkan kata-kata yang sering diucapkan oleh Insyirah kepadanya dulu.
       “ Saya tak suka bau tu,” kata-kata itu bagaikan masih terngiang-ngiang di telinganya. Sesunggahnya dia amat merindui gadis itu. Walaupun dia memang akui bahawa dia sudah bertukar pasangan berpuluh-puluh kali sebelum ini, namun Insyirah, dia gadis yang berbeza. Gadis itu berjaya menyedarkan dia. Sehingga sekarang, walaupun gadis itu sudah membencinya namun nama itu akan tetap berada di tempat tertinggi di hatinya.
       “ Hoi Rayyan.. Kau sekarang dah nak jadi ustaz ya?,” tegur Azrol, salah seorang rakannya yang nakal ketika Rayyan berjalan menuju ke masjid untuk solat Asar. Dia hanya sekadar tersenyum, sedikit pun tidak tercabar dengan kata-kata itu, malah membuatkan dirinya berasa bangga.
       “ Eh, jomlah ikut kitorang pergi berlumba malam ni. Hadiah lumayan der,” ajak rakannya itu bersungguh-sungguh. Rayyan mengucap panjang mendengar ajakan rakannya itu.
       “ Kau tak takut mati ke Azrol? Sudah-sudah lah terlibat dengan perkara-perkara macam itu. Kita ni makin hari makin tua,” kata Rayyan cuba menasihati rakannya itu.
       “ Alah, dulu kau pun sama je ,” balas Azrol.
       “ Ya, dulu aku memang tak takut semua itu. Aku rasa macam mati itu sangat jauh lagi dari aku. Tapi sekarang, aku sedar, ajal maut itu terletak di tangan Allah. Mati ini tak mengenal usia, tua atau muda, bila-bila saja,” begitu petah sekali Rayyan memberi nasihat.
       “ Ah, kalau tak nak ikut cakap saja la!! Tak payahlah kau nak bagi aku nasihat-nasihat yang mengarut ni. Menyampah aku dengar!,” lalu Azrol segera pergi dari situ. Rayyan tetap tersenyum. Sekurang-kurangnya dia sudah menasihati rakannya itu. Rayhan yang melihat dari jauh berasa terharu melihat perubahan abangnya itu.
       “ Kalaulah Insyirah tengok ni, mesti dia akan gembira. Dia dah benar-benar berubah Insyirah,” bisik hati Rayhan sendiri. Untuk seketika, dia terkenangkan rakannya itu.
*******
       “ Insyirah!!! ,” panggil Rayhan lalu segera berlari dan memeluk rakannya yang baru keluar itu. Insyirah tersenyum dan membalas pelukan rakannya itu. Sebaik melihat ibu bapanya, dia meleraikan pelukan itu dan segera mendapatkan ibu bapanya lalu bersalaman dengan mereka.
       “ Ibu sihat??,” tanya Insyirah sambil memeluk ibunya itu. “Sihat nak,” jawab Pn. Masitah. Air mata kerinduan ibunya sudah pun mengalir, begitu juga dengan air matanya. Rindu dia pada ibu bapanya setelah beberapa tahun meninggalkan mereka akhirnya terubat jua.
       En. Rasyid membawa beg dan barang-barang anaknya itu keluar dari lapangan terbang itu menuju ke kereta. Insyirah berjalan seiringan dengan Rayhan sambil bercerita tentang semua pengalamannya di bumi kurniaan Nil itu.
       Namun, tiba-tiba langkah Insyirah terhenti. Dia kaku seketika melihat lelaki di hadapannya itu. Penampilan lelaki itu kini sudah jauh berubah. Dia berseluar slack, berkemaja kumbang dan berkopiah. Mana jean lusuh, T-shirtnya dan topinya dulu?
       Hati Insyirah berdebar-debar, jantungnya berdegup kencang. Terasa senak di dalam perutnya berdepan dengan lelaki itu. Sudah sekian lama dia tidak menatap wajah itu, wajah lelaki yang amat dia rindui itu. Rayyan berjalan mendekatinya.
       “ Apa awak nak lagi ? ,” tanya Insyirah dingin.
       “ Insyirah, saya bukanlah insan yang sempurna. Tidak sesempurna malaikat yang tidak melakukan kesalahan. Tidak sehebat rasulullah yang hebat dan tabah dalam segala dugaan dan cubaan yang dihadapinya. Cinta saya tidaklah seagung cinta Rabiatul Adawiyah yang sangat agung kepada Allah, jiwa saya tidaklah sehebat jiwa Nabi Ibrahim, yang akur dalam setiap perintah. Saya tidaklah setabah Nabi  Syuib, yang kehilangan anak-anak dan lama menanggung derita penyakit. Namun saya cuba untuk  menjadi seorang yang baik, walaupun bukan yang terbaik..,” Rayyan tenang menuturkan kata-kata itu kepada Insyirah. Insyirah terkedu seketika. Air matanya bergenang semula, terharu mendengar ayat itu terungkap di bibir lelaki itu. Dia tahu lelaki itu masih ingat pada kisah-kisah nabi yang dia pernah ceritakan pada kanak-kanak tadika suatu ketika dahulu.
       “ Awak pernah cakap, Hawa tercipta daripada tulang rusuk Nabi Adam. Kerana itulah lelaki hanya ada satu tulang rusuk tetapi wanita ada dua. Kalau tulang rusuk Adam ada pada Hawa, jadi tulang rusuk saya ada pada siapa? Saya tercari-cari siapa yang memiliki tulang rusuk saya itu. Dan sekarang, saya benar-benar yakin, tulang rusuk saya ada pada gadis yang sedang berdiri di hadapan saya ini,” air mata Insyirah semakin deras mengalir. Bukan sahaja Insyirah, Rayhan turut terharu mendengar kata-kata abangnya itu.
       “ Insyirah, saya minta maaf.. Saya benar-benar dah berubah sekarang.. Mungkin cinta saya tidak seagung cinta Rasulullah dan Siti Khadijah, tidak setabah cinta Nabi Ibrahim dan Siti Hajar, dan tidak sesuci cinta Nabi Adam dan Hawa. Tapi, ketahuilah bahawa saya benar-benar cintakan awak. Dari dulu, hingga sekarang dan selama-lamanya. Terimalah saya semula, berilah saya peluang kedua,” Rayyan berkata sayu, memikirkan kesalahannya yang lalu. Insyirah terdiam. Lama. Rayyan tetap setia menanti jawapan daripada gadis itu.
       “ Awak tahu tak? Bila kita cintakan seseorang, kita akan terluka. Bila kita terluka, kita akan membenci. Bila kita membenci, kita akan cuba melupakan. Dan bila kita cuba melupakan, kita akan mula merindu. Dan bila kita mula merindu itulah, kita akan jatuh cinta lagi.. Rayyan, saya juga cintakan awak. Saya memang dah lama maafkan awak,” kata Insyirah sambil tersenyum walaupun air matanya masih lagi mengalir di pipi. Dia sebak, terharu, gembira. Segala perasaan bercampur-baur.
       “ Terima kasih Insyirah, saya janji tidak akan sia-siakan awak lagi,” kata Rayyan yang berasa sangat gembira mendengar kata-kata Insyirah itu tadi.
       “ Alhamdulillah Ya Allah. Engkau telah memakbulkan doaku, Engkau telah membuka pintu hatinya,” bisik hati Insyirah, bersyukur kepada Ilahi melihat perubahan Rayyan. Sesungguhnya Allah akan sentiasa memakbulkan doa hambaNya.

5 ulasan:

Qwerty berkata...

aaaaaa.
sweetnya. =)

aina safi berkata...

ble org yg kte ske berubh baik mmg bhgia... :)

mimimemo berkata...

happy ending..love it:)

Afiqahai berkata...

suka!! sweet sgt~
terharu kalau org tu berubah sebab org yang disayangi. hehe =D

Nia Moon berkata...

thnx..cz sudi bc n komen..:)